"Ajaib sungguh segala urusan orang yang beriman . Setiap urusannya baginya baik. Jika diberikan kebaikan maka ia bersyukur, maka ianya menjadi baik baginya. Apabila ditimpakan musibah padanya maka ia bersabar, maka itupun menjadi baik baginya."
Thursday, September 30, 2010
HiLaNG KePeKaaN JiWa
Saya tidak pernah bencikan kekayaan bahkan saya tidak dapat bayangkan kerosakan umat ini apabila kekayaan berada ditangan jiwa-jiwa yang rosak aqidahnya. Kekayaan adalah satu rahmat apabila dihubungkan dengan infaq, sedekah dan pengorbanan. Kekayaan juga merupakan bencana dan musibah apabila dikaitkan dengan kemewahan dan pembaziran.
Pernah, anak yang masih kecil menziarahi rumah seorang jutawan bersama ayahnya. Kerana sudah hampir waktu solat lalu mereka singgah untuk solat disebuah surau yang agak usang dan tak terjaga. Setelah selesai solat mereka terus ke rumah jutawan tadi. Ketika itu anak kecil tadi terpandang beberapa buah kereta mewah yang berbaris teratur diperkarangan rumahnya. Kanak-kanak kecil tadi dengan hati yang tulus terus berkata "Banyaklah kereta pakcik ni, kalau jual sebuah tentu boleh baiki surau yang kami singgah tadi." Ayah anak kecil tersebut menjadi serba salah lalu menjawab bagi pihak tuan rumah “Pakcik guna kereta ini untuk kerja dakwah, ajak orang pada Islam.”. Malangnya jawapan itu tidak dapat diterima oleh anaknya tadi "Kalau nak buat kerja dakwah pun takkan perlu banyak sangat kereta, kalau dua atau tiga keretapun dah banyak dah" ayah anak kecil itu terdiam tanpa kata-kata.
Kekayaan adalah suatu rahmat namun kemewahan yang merupakan kekayaan yang tidak terkawal disifatkan oleh Syed Qutb dalam tafsir Fi Zilalul Quran, seperti ‘ulat-ulat yang beracun dan busuk yang akan merosakkan keperibadian seorang mukmin’. Kemewahan menjadikan jiwa kita hilang kepekaan serta arah tuju kita mula kabur. Kita mula hilang pertimbangan antara perkara utama dan kurang utama, keperluan atau sekadar keinginan yang tidak semuanya perlu dipenuhi.
Kemewahan ini seterusnya akan mewariskan jiwa yang hilang kepekaan ini kepada generasi yang bakal lahir nanti. Ibnu khaldun dalam kitabnya Muqaddimah menggambarkan generasi yang lahir dan membesar dalam kemewahan akan lebih pentingkan diri sendiri. Profesor Hamka pula menggambarkan generasi ini umpama ikan di lombong yang tidak terbiasa dengan arus deras lalu menyebabkan isinya hanyir dan tawar.
Dalam semua hal, kekayaan adalah amanah. Segalanya akan dipersoalkan nanti, dari mana kita memperolehinya dan kemana kita telah belanjakannya. Kekayaan adalah rahmat bagi jiwa yang bertaqwa dan bencana yang merosak jiwa yang lemah keimanannya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment