Monday, September 27, 2010

~InGiN DiHaRgAi..?? ~



Memang tidak dinafikan, setiap insan ingin dihargai. Inilah fitrah manusia yang kadang-kadang menjadikan kita lupa diri lalu menjadikan pujian, sanjungan, tepukan dan penghargaan sebagai matlamat kehidupan. Kita merasa hebat dengan pujian dan sanjungan dan merasa kerdil dengan penghinaan. Kita tunduk kepada kekejian hanya kerana ingin diri dipuji dan dipandang hebat.



Ya, memang kita ingin dihargai kerana disebaliknya itu ialah kasih sayang dan perhatian. Anak-anak ingin dihargai agar ibubapanya bertambah kasih kepadanya. Isteri ingin pengorbanannya dihargai agar kasih suami tidak tertumpah pada yang lain. Suami, ingin dihargai agar kesetiaannya tidak diragui. Begitu juga dalam barsahabat, ingin dihargai agar terbukti keikhlasan dalam perhubungan.



Saya tidak ingin mengatakan perasaan ‘ingin dihargai’ ini suatu yang jelek dan berdosa kerana itulah fitrah manusia. Perasaan ini jugalah yang wujud dalam diri saya sendiri. Namun sahabat-sahabatku, ada sesuatu yang lain yang seharusnya kita cari. Sesuatu yang akan menghidupkan jiwa kita, membimbing hati dan mendidik nafsu kita. Sesuatu yang akan meringankan jiwa kita ketika ujian kehidupan melanda, yang menghilang kerisauan ketika hati terasa tinggi dan terancam dengan jurang kemiskinan. Jiwa inilah yang akan menjadi tenang dan penuh kesyukuran ketika kemewahan mewarnai kehidupan.




Carilah keredhaan Allah, kerana bersamanya adalah ketinggian dan kemuliaan hakiki. Manusia tidak lagi hanya memuji kita tetapi mencontohi kita serta menjadikan diri kita sebagai pembimbing kehidupan. Jiwa kita tidak lagi takutkan kemiskinan, penghinaan atau terlarut dengan kekayaan dan kemasyhuran. Kita tidak lagi terkeliru dipersimpangan atau terkandas dalam pelayaran kehidupan. Kita merasa mulia ketika dihina manusia dan merasa diri ini kerdil ketika pujian dan sanjungan menghujani jiwa.